MENU

APA ITU CUKAI TAKSIRAN ATAUPUN CUKAI PINTU?

Cukai Taksiran atau cukai pintu merupakan cukai yang dikenakan mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976  (Akta 171) ke atas pegangan berkadar seperti Bangunan kediaman, Bangunan Perniagaan (Kedai, Kompleks Perniagaan, Pejabat, Stesen Minyak dsb), Bangunan Perindustrian (Kilang,Pencawang), Tanah Kosong (Bangunan, Perniagaan dsb) yang terletak di dalam kawasan pentadbiran Majlis Daerah Bandar Baharu (MDBB).

 

MENGAPA CUKAI TAKSIRAN / CUKAI PINTU DIKUTIP?

Cukai ini dikenakan bagi membiayai :

  • Keperluan pembinaan dan penyelenggaraan kemudahan infrastruktur awam dan prasarana seperti penyediaan kemudahan lampu awam, pondok bas, perhentian stesen bas / teksi, tandas awam, padang, tempat rekreasi, pasar, jalan, parit dan sebagainya.
  • Perkhidmatan pembersihan perbandaran di kawasan perumahan / perniagaan, kilang, taman-taman dan tempat-tempat awam melalui perkhidmatan pungut sampah, potong rumput dan lain-lain.
  • Penyediaan dan penyelenggaraan lampu-lampu jalan dan longkang di kawasan tumpuan utama, kesemua ini adalah untuk menjamin kesejahteraan rakyat khususnya penduduk dalam kawasan Daerah Bandar Baharu.
     

Bila waktunya untuk bayar?

2 kali setahun iaitu pada : 

• Penggal Pertama sebelum 28hb Februari (Setengah Tahun Pertama) - 1 Januari hingga 28 Februari
• Penggal Kedua sebelum 31hb Ogos (Setengah Tahun Kedua) - 1 Julai hingga 31 Ogos

 

Boleh tak Cukai Taksiran / Cukai Pintu dikecualikan?

Boleh jika ianya adalah:

  1. Rumah Ibadat (tempat awam untuk sembahyang)
    2) Tanah Perkuburan atau krematorium awam
    3) Sekolah awam
    4) Tempat awam bagi maksud khairat atau bagi maksud sains,sastera atau seni halus
    dan bukan untuk mendapatkan keuntungan

     

Macam mana jika hartanah yang tidak didiami atau tidak diperoleh keuntungan??

Cukai taksiran tetap dikenakan walaupun sesebuah bangunan atau rumah itu kosong. Walaubagaimanapun, jika bangunan tersebut kosong , pemilik boleh memohon tuntutan remisi ke atas tempoh kekosongan dengan memberi notis bertulis kepada Majlis di dalam tempoh tujuh (7) hari bermula dari tarikh bangunan itu dikosongkan.
 

Apa akibat jika tidak membayar Cukai Taksiran / Cukai Pintu?

Jika anda masih lagi belum membuat bayaran selepas menerima Notis (Borang E), waran tahanan akan dikeluarkan kepada anda dan kos waran sebanyak 5% atas jumlah tunggakan cukai akan dikenakan.  Waran ini membolehkan pegawai MDBB diberi kuasa melaksanakan tindakan-tindakan seperti merampas (menyita) harta mudah alih yang ada di dalam bangunan.
 

KENAPA CUKAI TAKSIRAN / CUKAI PINTU BERBEZA?

Perbezaan nilai Cukai Taksiran adalah disebabkan oleh:-

  • Jenis bangunan
  • Keluasan lantai
  • Lokasi harta
  • Bahan-bahan pembinaan
  • Kegunaan
  • Kos binaan bangunan
     

BAGAIMANA CARA UNTUK TUKAR NAMA CUKAI TAKSIRAN / CUKAI PINTU ? (PINDAH MILIK)

Pertukaran nama boleh dibuat terus dengan datang ke Jabatan Penilaian & Pengurusan Harta Majlis Daerah Bandar Baharu melalui permohonan BORANG I/BORANG J (pindah milik atas sebab kematian) di bawah seksyen kecil (2) seksyen 160 Akta Kerajaan Tempatan 1975. Antara maklumat yang diperlukan seperti:

  1. Salinan kad pengenalan pemohon
  2. Salinan resit bayaran cukai taksiran yang terkini
  3. Salinan resit bayaran cukai tanah yang terkini
  4. Salinan surat perjanjian jual beli
  5. Salinan hakmilik tanah premis tersebut (Geran Tanah)
  6. Salinan surat kuasa (bagi borang J)
  7. Salinan sijil kematian (bagi boring J)

Setiap Salinan perlulah mendapatkan cop sah / cop pengesahan daripada penghulu ataupun pegawai Gred 41 ke atas seperti Guru Besar.